X
Isnin, 7 March 2022 | 1:31pm

Sektor pertanian dan perikanan rugi RM10 juta akibat banjir

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menganggarkan kerugian dialami petani dan penternak mencecah RM10 juta disebabkan banjir luar biasa, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim, berkata paling teruk terjejas disebabkan banjir luar biasa yang melanda negeri ini adalah sektor pertanian.

Katanya, kerajaan menganggarkan puluhan ribu hektar tanaman kontan terutama tembikai ditenggelami air.

"Kita masih mengumpul data bagi menentukan jumlah keseluruhan kerugian dialami disebabkan kawasan pertanian ditenggelami air.

"Secara keseluruhan, banjir luar biasa yang melanda adalah di kawasan pertanian dan perikanan," katanya kepada media selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Persidangan Perlindungan Sinaran 2020, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Presiden Persatuan Perlindungan Sinaran (MARPA), Mohd Sidek Othman.

Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, selain kawasan pertanian ditenggelami air, ribuan sangkar ikan juga musnah, manakala puluhan ribu ikan diternak juga mati.

Katanya, kerajaan negeri akan membantu untuk menyalur bantuan kepada petani dan pengusaha sangkar ikan menggunakan dana daripada tabung bencana pertanian.

Dr Azman melawat gerai pameran selepas merasmikan Persidangan Perlindungan Sinaran 2020, hari ini. Foto NSTP/Baharom Bakar
Dr Azman melawat gerai pameran selepas merasmikan Persidangan Perlindungan Sinaran 2020, hari ini. Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X