Ahad, 6 March 2022 | 3:03pm

Satu tan minyak masak bersubsidi laku dalam 30 minit

KUALA PILAH: Laku bak goreng pisang panas! Gerai menjual minyak masak di Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang, di sini, diserbu orang ramai sebaik harga 'happy hour' RM2 sepaket diumumkan jam 10 pagi tadi.

Dalam masa 30 minit sahaja, sebanyak satu tan minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram habis terjual dengan seorang pelanggan hanya dibenarkan membeli dua paket.

Pahirah Jamaluddin, 71, berkata dia berpuas hati dengan harga yang ditawarkan pada program jualan berkenaan, malah kualiti produk yang dijual juga terbaik.

"Saya dengar daripada rakan sekampung memaklumkan ada jualan murah di sini, jadi saya minta cucu bawakan saya ke sini. Banyak barang keperluan dapur yang dijual lebih murah berbanding tempat lain.

"Malah, minyak masak bersubsidi dalam paket juga dijual pada harga yang lebih murah. Minyak masak ini susah nak dapat di sekitar rumah saya di Johol," katanya ketika ditemui, pagi tadi.

Pahirah berkata, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan jika boleh dilaksanakan sebulan sekali dalam satu-satu kawasan.

Junaidah Ibrahim, 61, dari Jemapoh, berkata minyak masak bersubsidi dalam paket sukar diperoleh di kawasan rumah menyebabkan dia terpaksa membeli minyak masak dalam botol yang berharga RM10 ke atas untuk dua kilogram.

"Apabila saya mendengar ada jualan murah pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk membeli minyak masak bersubsidi yang semestinya lebih murah, malah dalam program hari ini, minyak dijual pada harga RM2 sahaja.

"Saya beli banyak barang hari ini bagi memenuhi keperluan dapur seperti beras, telur, ayam dan bawang. Sekampit beras 5 kilogram dijual pada harga RM10, manakala ayam dijual RM10 seekor," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Shazlee Shith yang meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga berkata, program itu adalah satu inisiatif kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat ketika mendepani pandemik COVID-19.

"Program dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ini saya anggap sebagai jualan mega kerana kerana produk bersubsidi yang memang lebih murah diturunkan lagi harga ketika 'happy hour'.

"Misalnya, minyak masak subsidi yang dijual pada harga RM2.40 sepaket dan ditawarkan pada harga RM2 sepaket ketika happy hour," katanya.

Orang ramai membeli bekalan minyak masak pada program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang, Kuala Pilah. STR/ AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Orang ramai membeli bekalan minyak masak pada program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang, Kuala Pilah. STR/ AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X