Jumaat, 4 March 2022 | 11:30pm
Sukarelawan membersihkan SMK Ayer Puteh, Kemaman yang terjejas banjir, baru-baru ini. - Foto ihsan SMK Ayer Puteh
Sukarelawan membersihkan SMK Ayer Puteh, Kemaman yang terjejas banjir, baru-baru ini. - Foto ihsan SMK Ayer Puteh

Calon SPM kembali duduki peperiksaan di SMK Ayer Puteh

KUALA TERENGGANU: Seramai 84 calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh, Kemaman, akan kembali menduduki peperiksaan itu di sekolah mereka, Isnin ini.

Sebelum ini, pelajar terbabit menjalani peperiksaan di SMK Cheneh Baru akibat sekolah mereka terjejas dengan banjir.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman, Idris Bidin, berkata langkah itu diambil selepas penilaian risiko mendapati keadaan selamat untuk pelajar kembali ke sekolah mereka.

"Kita harap semua calon dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan selamat walaupun terpaksa melalui beberapa ujian," katanya.

Terdahulu, seramai 60 sukarelawan, termasuk jemaah Masjid Lama Kampung Baru Kerteh, kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman, Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Amal Malaysia dan guru SMK Ayer Puteh turun padang membersihkan sekolah terbabit.

Sementara itu, Pengetua SMK Ayer Puteh, Abdul Muin Ismail, bersyukur pelajarnya sudah kembali ke sekolah.

"Kami harap pelajar dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan mendapat keputusan yang baik," katanya sambil berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit membersihkan sekolah itu.

Pada 28 Februari lalu, seramai 84 calon SPM SMK Ayer Puteh terpaksa dipindahkan ke pusat peperiksaan di SMK Cheneh Baru, selepas asrama pelajar sekolah itu dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Berita Harian X