Khamis, 3 March 2022 | 3:56pm

Sedekah jagung musnah banjir jadi makanan lembu

TUMPAT: Seorang petani berlapang dada melihat jagung ditanamnya yang musnah akibat banjir, disedekahkan kepada penduduk kampung untuk dijadikan makanan lembu.

Mohd Fazer Mamat, 42, dari Kampung Kajang Sebidang, di sini, terpaksa berbuat demikian bagi mengelak jagung yang ditenggelami banjir itu dibuang begitu sahaja.

"Semua tanaman ditenggelami air dan saya hanya mampu memandang tanpa dapat berbuat apa-apa.

"Disebabkan jagung sudah musnah, saya ambil keputusan untuk bersedekah dengan memberi tanaman itu kepada penduduk kampung untuk diberi makan kepada lembu peliharaan," katanya.

Selain Mohd Fazer, beberapa petani di kampung itu menerima nasib sama disebabkan banjir yang diibaratkan sebagai luar musim itu.

Rata-rata mereka menyangkakan musim tengkujuh sudah berakhir pada penghujung Januari lalu seperti kebiasaan, lantas mula menanam jagung, lada solok, petola, kacang panjang dan cili padi.

Mohd Fazer berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila 2,000 pokok jagung dan lada solok yang ditanam di tanah seluas 0.6 hektar habis ditenggelami banjir yang mencecah paras 1.2 meter.

"Sepatutnya, jagung ditanam itu sudah boleh dituai dalam tiga minggu lagi, manakala lada solok pula sebagai persediaan untuk dijual menjelang Ramadan nanti. Namun semuanya musnah sekelip mata.

"Air mula melimpah pagi Ahad lagi di kampung seberang dan menjelang petang, saya segera ke kebun dan terkejut mendapati air sudah mencecah satu meter," katanya.

Seorang lagi petani, Khairul Ashraf Pakri, 26, berkata banjir menenggelamkan 500 beg yang ditanam dengan pokok cili padi, selain petola, kacang panjang dan lada solok.

"Saya anggarkan kerugian dialami mencecah RM8,000 malah sebuah pam untuk mengalirkan air untuk tanaman yang dibeli dengan harga RM3,000 juga rosak," katanya.

Keadaan banjir yang memenuhi kebun di Kampung Kajang Sebidang menyebabkan petani mengalami kerugian apabila tanaman diusahakan mereka rosak. - FOTO NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan banjir yang memenuhi kebun di Kampung Kajang Sebidang menyebabkan petani mengalami kerugian apabila tanaman diusahakan mereka rosak. - FOTO NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X