Rabu, 2 March 2022 | 8:56pm

95 peratus kes kategori 4, 5 belum terima dos penggalak

KOTA KINABALU: Sejumlah 95 peratus pesakit dalam kategori empat dan lima yang dijangkiti COVID-19 di Sabah belum menerima dos penggalak.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keadaan itu membimbangkan walaupun bilangan kes harian membabitkan kedua-dua kategori itu rendah.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 2,217 atau 99.16 peratus daripada 2,236 kes baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan dua.

"Sementara itu, masing-masing lapan kes direkodkan dalam kategori tiga dan empat, diikuti tiga kes dalam kategori lima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, hari ini 2,236 kes positif COVID-19 direkodkan di Sabah, menjadikan kumulatif 343,948 kes.

"Sebanyak 24 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu tujuh kes di Penampang, empat di Kota Kinabalu, tiga di Sandakan, dua di Kudat serta Ranau dan masing-masing satu kes di Kuala Penyu, Telupid, Kinabatangan, Tawau, Nabawan dan Keningau.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh pula seramai 4,297 menjadikan kumulatif 297,926 orang.

"Ketika ini juga 1,596 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,006 orang di hospital, 572 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 16 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan dua di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X