Rabu, 2 March 2022 | 8:46pm
Tuan Ibrahim (tengah) melawat Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Gong Kulim hari ini. - FOTO BERNAMA
Tuan Ibrahim (tengah) melawat Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Gong Kulim hari ini. - FOTO BERNAMA

Benteng PLSB Sungai Golok bukan penyebab banjir di Pasir Mas

KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air menafikan pembinaan benteng bagi Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok mengakibatkan berlakunya banjir besar di daerah Pasir Mas.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya projek itu dapat menyelamatkan 38 kampung di kawasan Tumpat, menjadikan bilangan penduduk berpindah akibat banjir berkurangan daripada 4,000 orang kepada 300 orang sahaja.

"Banjir di Pasir Mas berlaku akibat hujan lebat luar biasa sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Golok.

"Tidak benar pembinaan benteng fasa satu itu menjadi halangan air, sebaliknya benteng berkenaan berjaya mengurangkan banjir," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau semalam meninjau keadaan banjir di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Terdahulu, tular di Facebook dan WhatsApp apabila ada penduduk di Rantau Panjang dan Kampung Tersang mendakwa banjir besar kali ini disebabkan pembinaan benteng.

Penduduk mendakwa benteng itu dibina pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan beberapa rumah musnah dan kerugian kepada mangsa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pembinaan benteng fasa satu sekarang yang meliputi jalan daripada Pengkalan Kubor ke Sungai Lanchang di Pasir Mas, juga mengambil kira kawasan paling rendah dan paling mudah limpahan Sungai Golok.

Beliau berkata, berbanding projek di fasa dua di bahagian utara yang meliputi Bandar Rantau Panjang, Kampung Lanchang sehingga ke Kampung Ayer Lanas, Tanah Merah bagi penyelesaian menyeluruh untuk mengatasi masalah banjir dan limpahan air Sungai Golok.

"Pembinaan benteng banjir seperti sebelah Thailand sudah diluluskan dan reka bentuk sedang dilaksanakan dalam peruntukan tahun kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Insya Allah, pam bergerak juga akan mula dipasang di kawasan terkesan banjir untuk mempercepatkan air dikeluarkan dari kawasan penempatan," katanya.

Berita Harian X