Ahad, 27 Februari 2022 | 11:38pm

Cemas kereta hampir ditenggelami banjir

KUALA BERANG: Seorang lelaki cemas apabila mendapati kereta yang ditinggalkan di hadapan sebuah kedai makan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sekayu, di sini, hampir ditenggelami banjir, malam ini.

Maarouf Yasin, 38, berkata dia meletakkan Perodua Myvi di kawasan itu jam 5.30 petang kerana yakin air banjir tidak akan melimpah sehingga ke situ.

Katanya, dia meletakkan kenderaannya di kawasan itu kerana bercadang bertemu isteri, anak dan mentua yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Durian Bador, di sini, selepas kediaman mereka di Kampung Lubok Pait, di sini, ditenggelami banjir.

"Saya bekerja di Kemaman dan sampai di sini jam 12 tengah hari tadi dan selesai membeli barangan keperluan anak dan isteri, saya meletakkan kereta di kawasan ini sebelum pergi ke Kampung Tanjung Putat bersama sepupu untuk ke PPS berkenaan dengan menggunakan bot.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di Kampung Tanjung Putat, saya mendapati air deras serta dalam menyebabkan saya berada lama di kawasan berkenaan sementara menunggu keadaan reda.

"Bagaimanapun, jam 7 malam tadi, sepupu, Hanif Saudi, 25, menunjukkan viral air naik di tempat saya letak kereta dan segera kembali ke kereta dengan motosikal bersama sepupu.

"Sebaik tiba dan melihat keadaan kereta yang sebahagiannya sudah tenggelam, saya panik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, dia kemudian dengan bantuan sepupu berusaha mendapatkan bantuan sebelum orang ramai membantu mengangkat kenderaan terbabit sedikit demi sedikit sehingga ke kawasan cetek.

Dia yang berasal dari Kampung Raja, Besut, berkata isteri, Noor Fatihah Samsuddin, 32, bersama anak, Ibra layka, 18 bulan ke rumah mentua sejak seminggu lalu.

"Saya tidak menyangka keadaan jadi begini (banjir) kerana sebelum ini kawasan kampung mentua tidak pernah dinaiki air," katanya.

Orang ramai membantu mengalihkan kereta Perodua Myvi milik Maarouf Yasin yang hampir ditenggelami banjir. STR/ZAID SALIM
Orang ramai membantu mengalihkan kereta Perodua Myvi milik Maarouf Yasin yang hampir ditenggelami banjir. STR/ZAID SALIM
Berita Harian X