Ahad, 27 Februari 2022 | 9:13pm
Calon SPM SMA Mahmudiah terpaksa dipindahkan menggunakan bot selepas asrama dihuninya di sekolah berkenaan dinaiki air banjir. NSTP/Ihsan SMA Mahmudiah
Calon SPM SMA Mahmudiah terpaksa dipindahkan menggunakan bot selepas asrama dihuninya di sekolah berkenaan dinaiki air banjir. NSTP/Ihsan SMA Mahmudiah

Calon SPM SMA Mahmudiah terpaksa dipindah guna bot

KUALA TERENGGANU: Seramai 131 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) Kuala Berang yang menginap di asrama terpaksa dipindahkan menggunakan bot selepas sekolah mereka dinaiki air banjir lebih dua meter, hari ini.

Pengetua SMA Mahmudiah, Mazelin Ali, berkata calon SPM berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, Hulu Terengganu bermula jam 4 petang ini menggunakan bot anggota penyelamat.

Beliau berkata, langkah segera itu terpaksa dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar, selain sebagai persediaan dan keselesaan kepada mereka menjelang peperiksaan yang bakal bermula Rabu ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 51 pelajar lelaki dan selebihnya perempuan terpaksa menggunakan beberapa bot anggota penyelamat secara bergilir untuk ke tempat lebih selamat kerana air semakin naik sehingga mencecah tingkat satu bangunan sekolah.

"Jika mereka tidak dipindahkan segera, kami khuatir air semakin naik ke beberapa blok lagi. Kini asrama perempuan, dewan makan dan blok kelas sudah dinaiki air banjir.

"Apabila calon SPM ini dipindahkan, tahap keselamatan mereka lebih terjamin. Begitu juga dari segi emosi mereka kerana peperiksaan hanya berbaki dua hari sahaja lagi," katanya.

Mazelin berkata, air mula memasuki kawasan sekolah berkenaan sejak semalam tetapi keadaan banjir ketika itu masih terkawal.

Beliau turut memaklumkan calon SPM dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang dan pelajar Madrasah Moden Hulu Terengganu turut dipindahkan menggunakan bot.

Sementara itu, calon SPM SMA Mahmudiah, Muhammad Hamizan Mamat, 18, menyifatkan situasi banjir itu sebagai ujian ketika peperiksaan semakin hampir.

"Mungkin ini ujian bagi kami pelajar Tingkatan Lima 2021 bermula dengan pandemik COVID-19.

"Kini berbaki dua hari lagi sebelum peperiksaan SPM, Allah uji lagi kami dengan banjir. Inilah ujian terbesar buat kami. Kami berdoa semoga ada hikmah di sebalik ujian ini," katanya.

Seorang lagi calon SPM SMA Mahmudiah, Ainul Mardhiah Mohd Anuar, 18, berkata, walaupun terpaksa menaiki bot untuk berpindah, dia dan rakan-rakannya bersyukur kerana semua terselamat.

Berita Harian X