Rabu, 23 Februari 2022 | 6:04pm

Kerajaan Terengganu yakin mampu capai sasaran bina 20,000 rumah

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 18,619 unit atau 93.1 peratus daripada sasaran 20,000 unit rumah sudah dibina di Terengganu, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri sebelum ini menetapkan sasaran itu untuk dicapai menjelang 2023.

Beliau berkata, pihaknya yakin baki 1,381 unit lagi dapat dicapai dalam tempoh berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini memiliki kediaman masing-masing.

Katanya, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran itu dengan kerjasama yang dijalankan bersama syarikat swasta yang ada.

"Ia termasuk sebanyak 1,716 unit rumah pelbagai jenis dan komersial yang akan dibina di Kerteh Jaya dan Kampung Semayor, Kemaman bermula Julai ini dengan mengetengahkan konsep 'Smart and Green City'.

"Projek yang membabitkan kos pembangunan kasar sebanyak RM468 juta ini dijangka mengambil masa enam tahun untuk disiapkan di tapak yang berkeluasan 85 hektar.

"Projek ini bakal menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A sebanyak 356 unit, 547 unit jenis B dan 813 unit komersial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Secara Penswastaan di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Berhad, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail.

Mengenai projek pembinaan rumah di daerah Kemaman, Dr Alias berkata, kesemua rumah projek pembinaan itu dilakukan dalam tiga fasa dengan rumah dijual antara RM80,000 hingga RM650,000 seunit.

Katanya, pemaju turut membangunkan pelbagai kemudahan awam dan infrastruktur sokongan seperti dewan komuniti, TADIKA dan TASKA, surau, tangki air dan taman permainan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (dua, kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Ireka CCorporation Berhad Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail (tiga kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Secara Penswastaan di Wisma Darul Iman, hari ini. STR/GHAZALI KORI

Berita Harian X