KUANTAN: Polis akan mempertingkat pemantauan di kawasan tumpuan pelancongan termasuk pemeriksaan rawak pada cuti persekolahan bermula Sabtu ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata langkah itu dilakukan susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Sebagai contoh, katanya, pengunjung yang ingin ke Pulau Tioman melalui jeti Teluk Gading, Rompin akan diperiksa untuk memastikan mereka lengkap pelalian.
"Dua hari lalu, seorang pengunjung di pulau itu dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), iaitu tidak memiliki sijil vaksin.
"Polis mengeluarkan kompaun kerana ia membabitkan kesalahan yang sangat terlampau kerana memasuki Pulau Tioman tanpa sijil vaksin lengkap," katanya di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Ramli berkata, masyarakat di negeri ini mesti terus mematuhi SOP dan sentiasa mengambil langkah berwaspada, berikutan peningkatan jumlah kes positif COVID-19.