Rabu, 16 Februari 2022 | 5:44pm
Penanam tembikai, Mohd Azlizan Zakaria, mengepam keluar air yang menenggelamkan tanaman tembikainya di Kampung Kandis, Bachok. - Foto NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Penanam tembikai, Mohd Azlizan Zakaria, mengepam keluar air yang menenggelamkan tanaman tembikainya di Kampung Kandis, Bachok. - Foto NSTP/NOR AMALINA ALIAS

Kerajaan negeri bantu penanam tembikai

Oleh Nor Amalina Alias

bhnews@bh.com.my

BACHOK: Kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada penanam tembikai, yang terjejas akibat ditenggelami air hujan, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat petani yang terjejas bagi menyalurkan bantuan sewajarnya.

"Saya akan turun padang melihat perkara ini dan kita akan bantu sebaik mungkin.

"Diharap petani yang terjejas dapat memberikan maklumat lengkap bagi memudahkan urusan bantuan," katanya.

Mohd Saripudin berkata, kerajaan pusat dan kerajaan negeri memang ada menyediakan bantuan kepada petani yang terbabit dalam bencana alam, sama ada projek ternakan atau pertanian.

Beliau berkata, dua jajahan utama iaitu Bachok dan Pasir Puteh adalah antara lokasi tanaman yang berdepan risiko banjir dan kemarau setiap tahun.

Terdahulu, lebih 100 penanam tembikai di Kampung Kandis berdepan kerugian apabila tanaman mereka ditenggelami air akibat hujan sejak semalam.

Tanaman itu yang sepatutnya dikutip dua minggu lagi rosak apabila ditenggelami air setinggi 0.3 meter.

Berita Harian X