Selasa, 15 Februari 2022 | 4:09pm

Empat beranak berteduh di stor usang

RANTAU PANJANG: Empat beranak terpaksa berteduh di dalam stor usang yang menunggu masa `menyembah bumi' selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, Khamis lalu.

Mangsa, Elias Jusoh, 49, dan isterinya Zubaidah Rawi, 48, reda dengan ujian yang menimpa dan mengambil keputusan berhimpit di stor berkenaan bersama dua anak kerana sudah tiada tempat untuk dituju.

Lebih menyedihkan, katanya, kejadian berlaku sehari sebelum majlis perkahwinan anak mereka, Nur Adawiyah Aufa Elias, 21, yang mana turut memusnahkan segala persiapan pernikahan seperti pelamin, baju pengantin dan hantaran bernilai lebih RM15,000.

"Ketika kejadian, saya sedang membersihkan kawasan rumah sebelum terkejut melihat kepulan api pada bahagian atas kediaman. Saya terus bergegas memberitahu isteri, anak-anak dan saudara mara yang turut berada di sini supaya keluar menyelamatkan diri.

"Mereka yang ketika itu leka berinai terus keluar sehelai sepinggang kerana api marak dengan terlalu cepat, manakala saya dan beberapa saudara lain bergegas menyelamatkan kenderaan seperti motosikal dan kereta ke tempat selamat.

"Rumah kami musnah 100 peratus serta dokumen penting juga tidak dapat diselamatkan, manakala perkahwinan anak diteruskan dalam serba sederhana pada Ahad lalu," katanya ketika ditemui di stor tempat mereka berlindung di Kampung Rahmat, di sini, hari ini.

Nasib keluarga berkenaan turut mendapat perhatian wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan, makanan dan kewangan kepada mereka.

Elias berkata, selama lima malam dia sekeluarga berteduh di dalam stor yang sebelum ini menjadi tempat dia menyimpan alatan menoreh dan pelbagai jenis racun yang digunakan untuk bekerja.

"Memandangkan kebelakangan ini cuaca tidak menentu dengan hujan yang lebat kami terpaksa bertahan dalam kesejukan akibat atap stor yang bocor selain dinding tidak sempurna.

"Buat masa ini, kami masih buntu dan terus mengharapkan stor ini sebagai 'kediaman sementara' kerana tidak mampu membina rumah baru dalam masa terdekat. Bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

"Ini ujian terbesar buat saya dan keluarga, tetapi kami anggap ia sebagai ujian agar kami terus kuat dan tabah dalam menghadapi kehidupan akan datang," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan, makanan dan kewangan kepada Elias Jusoh, 49, dan isterinya Zubaidah Rawi, 48. STR/SYAHERAH MUSTAFA
Wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan, makanan dan kewangan kepada Elias Jusoh, 49, dan isterinya Zubaidah Rawi, 48. STR/SYAHERAH MUSTAFA
Berita Harian X