Selasa, 15 Februari 2022 | 3:55pm
Keadaan banjir di Kampung Bahagia, Bukit Gunting, Setiu. - Foto APM
Keadaan banjir di Kampung Bahagia, Bukit Gunting, Setiu. - Foto APM

1 PPS dibuka di Setiu, paras beberapa sungai meningkat

KUALA TERENGGANU: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan sebuah keluarga di Setiu terpaksa dipindahkan apabila kediaman mereka di Kampung Bahagia dinaiki air.

Berikutan itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah membuka sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di balai raya kampung berkenaan bagi menempatkan pasangan suami isteri dan dua anak mereka itu pada jam 11 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Mohd Zawawi Mat Nasir, berkata hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan didiami keluarga terbabit dinaiki air dan mereka terpaksa dipindahkan.

Dalam pada itu, hujan lebat berterusan direkod sekitar 20mm-120mm bermula semalam menyebabkan paras beberapa sungai utama di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Hulu Kemaman dan Hulu Dungun meningkat dan melepasi tahap waspada serta amaran.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien (kanan) meninjau keadaan banjir di Kampung Bahagia, Bukit Gunting, Setiu. - Foto APM
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien (kanan) meninjau keadaan banjir di Kampung Bahagia, Bukit Gunting, Setiu. - Foto APM

Beliau berkata, paras air di Sungai Chalok, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu melepasi paras amaran, manakala enam sungai pada paras waspada, iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Kampung Langkap; Sungai Setiu di Kampung Besut di Setiu; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Kuala Nerus; Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Marang dan Sungai Tebak di Kemaman.

Justeru, penduduk di kawasan rendah dan mudah dinaiki air dinasihatkan berada dalam keadaan berjaga-jaga dan segera berpindah sekiranya perlu bagi mengelak terperangkap dalam banjir.

Berita Harian X