Khamis, 10 Februari 2022 | 2:17pm
KPDNHEP Johor tidak menerima aduan kekurangan bekalan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 setakat ini. - Foto hiasan
KPDNHEP Johor tidak menerima aduan kekurangan bekalan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 setakat ini. - Foto hiasan

Bekalan set RTK di Johor mencukupi

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor tidak menerima aduan kekurangan bekalan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 setakat ini.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan dijalankan sepanjang Januari hingga hari ini, bekalan RTK di pasaran ketika ini mencukupi.

"Sejak 1 Januari lalu, 1,986 pemeriksaan dilakukan terhadap premis runcit serta borong di farmasi, kedai ubat-ubatan dan klinik swasta. Setakat ini, bekalan set RTK mencukupi," katanya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan mendakwa Sabah dan Johor antara negeri mengalami kekurangan bekalan set RTK dipercayai akibat masalah logistik dan peningkatan kes harian COVID-19.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, bekalan kit ujian berkurangan dan kerajaan serta pembekal perlu mendapatkan bekalan mencukupi supaya tidak mendatangkan isu lain kemudian hari.

Mohd Hairul turut menasihatkan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang atau menyorokkan bekalan.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan salah laku peniaga kepada kementerian melalui talian 0380008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau 1800 886 800 atau aduan ke Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP di seluruh Johor," katanya.

Berita Harian X