Rabu, 9 Februari 2022 | 4:57pm
Penduduk Kampung Chuchoh Puteri B mahu pewartaan kawasan tadahan air membabitkan lima kompartmen di Sungai Rek. - Foto NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Penduduk Kampung Chuchoh Puteri B mahu pewartaan kawasan tadahan air membabitkan lima kompartmen di Sungai Rek. - Foto NSTP/SITI ROHANA IDRIS

Kawasan tadahan air diwarta jika sesuai

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan Kelantan berhubung lima kompartment di kawasan Kampung Chuchoh Puteri A dan Kampung Chuchoh Puteri B di Kuala Krai, jika sesuai diwartakan sebagai kawasan tadahan air,

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata jabatan itu perlu mengkaji terlebih dahulu sama ada kawasan tadahan yang diminta bagi kegunaan hampir 7,000 penduduk berkenaan, benar-benar sesuai sebagai kawasan tadahan air.

"Secara umumnya, Jabatan Perhutanan Kelantan memang mengenal pasti hutan yang menjadi tadahan air. Sebahagian besar sudah dimasuk dalam hutan simpan yang tidak boleh dikeluarkan hasil.

"Cuma ada juga kes terpencil dan kita perlu buat semakan terlebih dahulu sama ada kawasan berkenaan benar-benar kawasan tadahan air.

"Ada sesetengah kawasan itu memang menjadi tadahan air, namun selepas beberapa tempoh, ia tidak berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang membolehkan Jabatan Perhutanan memberi kebenaran untuk kegiatan pembalakan," katanya hari ini.

Beliau mengulas desakan hampir 7,000 penduduk di Kampung Chuchoh Puteri A dan Kampung Chuchoh Puteri B di Kuala Krai yang mahu kerajaan negeri mewartakan kawasan berkenaan sebagai kawasan tadahan air.

Penduduk turut meluahkan kebimbangan kawasan tadahan utama yang menyalurkan sumber air bersih kepada penduduk di Sungai Sok terjejas, akibat pembalakan di hutan simpan berkenaan.

Mohd Amar berkata, sebelum ini kerajaan negeri membatalkan beberapa permit pembalakan dan penebangan hutan apabila mendapati kawasan berkenaan kawasan tadahan air yang digunakan penduduk.

Berita Harian X