Rabu, 9 Februari 2022 | 12:40pm
SK Saujana Indah yang dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat pencemaran udara disebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. - NSTP/ NUR IZZATI MOHAMAD
SK Saujana Indah yang dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat pencemaran udara disebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung. - NSTP/ NUR IZZATI MOHAMAD

PPS SK Saujana Indah ditutup

NIBONG TEBAL: Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah yang beroperasi lebih tiga minggu bagi menempatkan penduduk dari dua kampung yang terjejas dengan pencemaran udara susulan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, ditutup sepenuhnya hari ini.

Semua penduduk sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kualiti udara di sekitar Ladang Byram bertambah baik dan pulih melalui cerapan terkini serta ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Operasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Seberang Perai Selatan juga ditamatkan hari ini.

"Bagaimanapun, pihak syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meneruskan kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS.

"Komitmen tinggi semua pihak dalam menyelesaikan urusan ini amat dihargai," katanya.

Kelmarin, penduduk dari Kampung Kebun Baru di sini dibenarkan pulang apabila kualiti udara dilaporkan bertambah baik.

Bagaimanapun, penduduk dari ladang Byram dinasihatkan tidak kembali ke rumah mereka berikutan bacaan kualiti udara belum stabil dan tidak sihat.

Api kebakaran tapak pelupusan sampah itu dipadam sepenuhnya pada 31 Januari lalu.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah berkenaan dilaporkan terbakar seluas 11.3 hektar hingga menyebabkan kualiti udara dekat situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan

Kebakaran terbabit juga menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, penduduk dari dua kampung berdekatan tapak pelupusan sampah itu diarah mengosongkan kediaman dan berpindah ke dua PPS yang dibuka.

Berita Harian X