X
Ahad, 6 Februari 2022 | 10:16am

2 beradik buntu, rugi RM10,000 ladang timun dimusnahkan banjir

RANTAU PANJANG: Dua beradik buntu memikirkan nasib mereka selepas ladang timun fertigasi diusahakan di Kampung Lubok Gong, di sini, musnah akibat banjir baru-baru ini sehingga menyebabkan kerugian lebih RM10,000.

Mohd Fikri Harun, 25, dan Mohd Faizudin, 31, tidak menyangka banjir yang melanda hujung tahun lalu itu terus melenyapkan tanaman yang menjadi satu-satunya punca pendapatan mereka yang baru sahaja empat tahun mengusahakan ladang timun di tanah seluas 0.4 hektar berkenaan.

"Kami guna wang simpanan sebagai modal dan menjadi petani dapat memberi pendapatan yang baik. Bagaimanapun, kami diuji dengan banjir yang sekali gus 'melumpuhkan' kerjaya saya dan abang. Kini, kami sedang mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi memulakan semula tanaman ini.

"Selain berusaha mencari wang sampingan, kami juga ada memohon bantuan bank serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), namun masih belum mendapat maklum balas. Sejujurnya, kami tidak sabar untuk membaik pulih kerosakan dan memulakan semula tanaman timun kerana 'jiwa' kami sebagai petani sangat kuat," kata Mohd Fikri.

Mereka yang turut mengusahakan tanaman Lada Solok dan ubi keledek biasanya menghantar hasil tanaman ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di Kota Bharu setiap pagi untuk pemborong.

Mohd Fikri berkata, hampir setiap tahun kawasan ladang itu dinaiki banjir, tetapi tanaman fertigasi milik mereka selamat, namun bah kali ini agak besar dengan aliran air deras memusnahkan semua tanaman.

"Hampir setiap hari kami termenung memikirkan cara untuk kembali bangkit mengusahakan ladang ini, namun memerlukan modal baharu yang agak tinggi. Justeru, besar harapan kami agar mana-mana pihak dapat membantu petani muda seperti kami.

"Walaupun diuji sebegini, ia tidak mematahkan semangat kami dan akan terus berusaha memastikan ladang timun kembali beroperasi seperti biasa," katanya.

Mohd Fikri Harun, 25, dan abangnya, Mohd Faizudin, 31, buntu memikirkan nasib mereka selepas ladang timun fertigasi diusahakan di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, Kelantan, musnah akibat banjir baru-baru ini sehingga menyebabkan kerugian lebih RM10,000. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohd Fikri Harun, 25, dan abangnya, Mohd Faizudin, 31, buntu memikirkan nasib mereka selepas ladang timun fertigasi diusahakan di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, Kelantan, musnah akibat banjir baru-baru ini sehingga menyebabkan kerugian lebih RM10,000. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X