Selasa, 18 Januari 2022 | 12:19pm
Razman (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang dalam program Kayuhan Santai Belia Bagan Serai, hari ini. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Razman (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang dalam program Kayuhan Santai Belia Bagan Serai, hari ini. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Pesawah minta kerajaan pertimbang naikkan subsidi racun, baja

PARIT BUNTAR: Langkah bagi mengatasi isu kenaikan mendadak harga racun serangga dan kulat serta baja yang membebankan pesawah masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria, berkata kerajaan masih lagi mengkaji beberapa cadangan bagi membantu petani mengatasi masalah berkenaan.

"Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dan mengkaji beberapa cadangan bagi membantu petani mengatasi masalah ini. Sehingga kini, belum ada sebarang kata putus diperoleh dan perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan tindakan," katanya ketika ditemui di Program Kayuhan Belia Bagan Serai, di sini hari ini.

Awal Disember lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan harga racun serangga meningkat sehingga 199 peratus, daripada RM66 kepada RM197.50. Racun kulat turut meningkat 20.77 peratus, diikuti racun siput hampir 20 peratus, baja sebatian 'tiara blue' (19.4 peratus), Agrobridge (19.1 peratus) dan NPK biru (14.5 peratus).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata, kenaikan harga itu adalah di luar kawalan kementeriannya berikutan peningkatan harga pasaran dunia, sekali gus memberi kesan langsung kepada pengeluaran ditanggung petani.

Sehubungan itu, MAFI memperkenal langkah alternatif dengan menggalakkan pengurangan kebergantungan dan peralihan baja kimia kepada organik, selain memperkenal pelbagai pendekatan serta pengembangan perkhidmatan bagi jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, Razman berkata, penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini terkawal kerana tiada kes dilaporkan di ladang ternakan itu, kecuali pada Disember lalu yang membabitkan beberapa ladang di Sungkai dan Bidor, namun babi yang dikesan telah dilupuskan.

Sementara itu, pesawah mengakui kenaikan mendadak harga racun memberi tamparan hebat kepada mereka, khususnya yang bakal memulakan tanaman padi bagi musim 1/2022 dan meminta kerajaan segera membantu mencari inisiatif bagi menangani isu berkenaan.

Pesawah, Abdul Malik Mohammed, 55, berkata kenaikan harga bahan itu memang membebankan, tidak termasuk kos terpaksa ditanggung mereka untuk membayar perkhidmatan jentera dan upah berkaitan.

"Nak buat bendang pun tiada semangat, harga semua racun naik, racun rumput, siput, kulat dan macam-macam lagi, semua naik, tak termasuk kos jentera, upah dan lain-lain. Jika berterusan, tidak mustahil ada di antara pesawah akan ubah tanaman padi kepada tanaman lain seperti kelapa dan sawit yang kurang penggunaan racun.

"Kami harap kerajaan dapat bertindak segera memastikan nasib dan kebajikan pesawah terbela. Dalam keadaan sekarang, mustahil harga racun akan turun berikutan peningkatan harga di pasaran dunia.

"Justeru, selain cadangan menaikkan subsidi racun dan baja kepada pesawah, kerajaan juga disaran memberi insentif khas sekurang-kurangnya RM100 sehektar sawah bagi mengurangkan beban terpaksa ditanggung pesawah untuk membeli racun yang diperlukan," katanya.

Berita Harian X