Isnin, 17 Januari 2022 | 5:24pm

'Harimau berkeliaran bukan disebabkan aktiviti pembalakan'

MACHANG: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) tidak mahu orang ramai memanipulasikan kemunculan harimau berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang sejak awal bulan ini berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah, berkata semakan dibuat pihaknya mendapati lokasi berkenaan adalah kawasan penempatan Orang Asli suku Temiar dan berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), namun dikelilingi HSK Perias.

Beliau berkata, sebahagian besar HSK Perias adalah hutan pengeluaran dan terdapat beberapa kawasan pembangunan ladang hutan (bekas lesen) di sepanjang laluan ke Pos Bihai yang sudah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan (Hutan Tadahan Air) oleh kerajaan negeri pada 2019.

"Pada minggu lalu, saya menghantar laporan lengkap mengenai isu pembalakan dikaitkan dengan serangan harimau di Gua Musang kepada ibu pejabat Jabatan Perhutanan untuk mendapatkan lebih perincian.

"Pada masa sama, kawasan serangan harimau yang berlaku sehingga menyebabkan lelaki Orang Asli mati dibaham binatang berkenaan juga berada pada jarak antara lima hingga enam kilometer dari kawasan pembalakan," katanya selepas Majlis Perasmian Dataran Dato Bentara Kanan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar, di sini, hari ini.

Terdahulu, satu imej kesan aktiviti pembalakan hutan dirakam dron aktivis alam sekitar didakwa sebagai habitat harimau yang terletak berdekatan perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang.

Imej daripada dron milik Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) itu dirakam ketika tinjauan pihak itu di lokasi berkenaan pada Isnin hingga Jumaat lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan menafikan aktiviti pembalakan menjadi faktor harimau belang masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kedatangan harimau ke kampung di sekitar Pos Bihai, Gua Musang bukan disebabkan pembalakan.

Dalam kejadian pada jam 9.10 pagi 7 Januari lalu, lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along dan kejadian berlaku ketika mangsa sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah.

Susulan serangan berkenaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan melancarkan pemantauan dan kawalan di perkampungan berkenaan, selain turut memasang perangkap berkamera iaitu di Kampung Tendrik dan Kampung Hak.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata, kajian dilakukan pakar mendapati apabila ada kawasan pembalakan, populasi harimau akan bertambah disebabkan anak pokok balak ditanam di kawasan itu mula membesar, sekali gus menarik haiwan kecil seperti kancil sebagai pemangsa dan tidak mengganggu manusia.

"Justeru itu, saya menasihatkan orang ramai tidak memanipulasikan aktiviti pembalakan yang berlaku sebagai penyebab utama harimau keluar daripada habitat asalnya," katanya.

 Ahmad (kiri) menandatangani plak ketika merasmikan Majlis Dataran Dato Bentara Kanan di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar, hari ini. NSTP/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
Ahmad (kiri) menandatangani plak ketika merasmikan Majlis Dataran Dato Bentara Kanan di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar, hari ini. NSTP/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
Berita Harian X