Isnin, 17 Januari 2022 | 4:32pm
Tinjauan mendapati stok sayur berdaun kurang berbanding biasa di pusat beli belah dekat Skudai, Johor. - Foto NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN
Tinjauan mendapati stok sayur berdaun kurang berbanding biasa di pusat beli belah dekat Skudai, Johor. - Foto NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN

Sayur pula kurang

JOHOR BAHRU: Bekalan sayuran berdaun beberapa negeri di Semenanjung terjejas hampir 50 peratus sejak awal bulan ini, berikutan kebanyakan ladang sayur ditenggelami banjir.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata bekalan sayur berdaun dijangka terjejas hingga bulan depan sekali gus, bakal menganggu persiapan Tahun Baru Cina.

Ketika ini, beliau berkata, lebih 60 jenis sayur berdaun mengalami kekurangan bekalan berikutan ladang-ladang sayur yang kebanyakannya di negeri ini iaitu Johor Bahru dan Bukit Gambir, Tangkak, terjejas banjir.

"Kita jangka kekurangan bekalan sayuran berdaun akan terjejas hingga musim perayaan selesai nanti. Malah, ladang sayur mengalami kekurangan tenaga kerja yang kritikal.

"Ladang-ladang sayur yang terjejas banjir sedang memulihkan kawasan mereka dengan penanaman baru bermula. Ini akan mengambil masa kira-kira sebulan, sebelum hasilnya dapat dipetik dan dipasarkan.

"Antara sayur berdaun yang terjejas bekalan ketika ini ialah sawi hijau, sawi putih, kailan, bayam, selain kangkung," katanya hari ini.

Terdahulu tinjauan di pasar basah serta pasar raya besar di sekitar Skudai dan Tampoi, di sini, mendapati sayur berdaun didapati berkurangan berbanding biasa.

Beberapa rak sayur berdaun juga dilihat kosong berikutan ketiadaan stok.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam, mengakui bekalan sayuran berdaun yang diterima daripada pembekal berkurangan, berbanding biasa sejak lebih seminggu lalu.

"Antara sayur berdaun yang paling terjejas ialah bayam, sawi dan kangkung.

"Biasanya kami menerima di antara 50 hingga 60 kilogram sayuran berdaun terutama bayam, sawi dan kangkung setiap hari daripada pembekal. Namun sejak lebih seminggu lalu, hanya menerima 10 kilogram saja.

"Pembekal memaklumkan stok sayuran terjejas kerana kebanyakan ladang sayur ditenggelami banjir dan masih dalam fasa penanaman," katanya.

 Situasi banjir di Segamat dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat. - Foto fail NSTP
Situasi banjir di Segamat dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat. - Foto fail NSTP

Berita Harian X