Isnin, 17 Januari 2022 | 3:07pm

Udara tercemar pusat pelupusan sampah terbakar, 115 penduduk berpindah

NIBONG TEBAL: Seramai 115 penduduk Kampung Kebun Baru, di sini, yang terjejas ekoran masalah pencemaran udara susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung memberi kerjasama baik apabila mengosongkan kediaman mereka selepas diminta berbuat demikian.

Tinjauan di kampung itu mendapati kebanyakan penduduk sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka atau menumpang rumah saudara terdekat, selain ada yang sedang berkemas untuk bersiap sedia keluar dari rumah mereka buat sementara waktu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kebun Baru, Nur Syakila Abdullah, 48, berkata dia bersama jenteranya sudah berada di kampung itu sejak jam 6.40 pagi tadi bagi membantu penduduk berpindah dan memberi nasihat kepada mereka yang enggan mengosongkan kediaman berikutan keadaan kandungan udara yang berbahaya.

"Semalam penghulu kampung dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah turun di kampung ini memberitahu keadaan yang berlaku dan meminta penduduk berpindah buat sementara kerana keadaan sekarang tidak sesuai dan berbahaya terhadap kesihatan.

"Secara keseluruhannya terdapat 36 rumah di kampung ini dan 18 keluarga membabitkan 115 individu memberi kerjasama baik apabila mereka berpindah sama ada menumpang di rumah saudara terdekat atau tinggal di PPS.

"Kita juga sedang berusaha memujuk penduduk yang enggan berpindah dan berharap semua dapat mengosongkan kediaman selewat-lewatnya malam ini," katanya.

Tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang Rabu lalu dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga kini.

Anggaran keluasan terbabit kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan membuat 'fire break' bagi mengelak api terus merebak.

Susulan kebakaran itu, JAS Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara dan mengesan kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah kemudian dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dekat situ sehingga keadaan pulih.

Mengulas lanjut, Nur Syakila berkata, tapak pelupusan sampah itu beberapa kali terbakar sebelum ini, namun ia tidak serius sehingga penduduk terpaksa berpindah.

"Seingat saya ada tiga hingga empat kali kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah ini tetapi ia tidak serius.

"Namun, kali ini sangat serius hingga kualiti udara pula berada pada tahap tidak baik yang memaksa penduduk perlu akur berpindah demi kesihatan mereka," katanya.

 Nor Syakila (kanan) menemui Siti Hajar Hashim, 54, yang berpindah sementara ke PPS susulan pencemaran udara akibat kebakaran tapak pelupusan Sampah Pulau Burung.- NSTP/DANIAL SAAD
Nor Syakila (kanan) menemui Siti Hajar Hashim, 54, yang berpindah sementara ke PPS susulan pencemaran udara akibat kebakaran tapak pelupusan Sampah Pulau Burung.- NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X