Isnin, 17 Januari 2022 | 1:58pm
 Sukarelawan Lang Tengah Turtle Watch (LTTW) menunjukkan telur penyu yang diselamatkan kepada pelancong. Foto ihsan LTTW
Sukarelawan Lang Tengah Turtle Watch (LTTW) menunjukkan telur penyu yang diselamatkan kepada pelancong. Foto ihsan LTTW

LTTW selamatkan lebih 80,000 telur penyu

KUALA TERENGGANU: Lang Tengah Turtle Watch (LTTW) sehingga kini sudah menyelamatkan lebih 80,000 telur penyu agar, hijau dan tuntung laut daripada dijual di pasaran sejak 2016 hingga 2021.

Usaha pemuliharaan penyu LTTW ini secara tidak langsung membantu meningkatkan jumlah penyu agar, penyu hijau dan tuntung laut yang semakin terancam di Terengganu.

Pengurus Projek Lapangan LTTW, Yasmin Rizal, berkata LTTW dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengadakan Kempen Penajaan Sarang Penyu 2022.

" Kempen penajaan sarang ini akan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk tidak memakan telur penyu dan memboikot penjualannya di pasaran, disamping memastikan telur penyu dapat menetas dengan selamat di dalam pusat penetasan, malah menyediakan peluang kepada pemajak telur penyu tempatan yang berlesen untuk menjana pendapatan.

Anak penyu yang menetas di Lang Tengah Turtle Watch (LTTW).- Foto ihsan LTTW
Anak penyu yang menetas di Lang Tengah Turtle Watch (LTTW).- Foto ihsan LTTW

"Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mini adalah satu usaha murni bagi memupuk kesedaran masyarakat umum dalam pemuliharaan penyu selain dapat mengumpul dana dengan menggalakkan masyarakat menaja satu atau lebih sarang telur penyu.

"Dana yang disumbangkan akan digunakan untuk membeli telur penyu daripada pemajak berlesen dan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pemuliharaan penyu.

"Setiap sarang yang ditaja dapat menyelamatkan sehingga 150 ekor penyu. Selepas anak penyu menetas, ia akan dilepaskan semula ke lautan yang mana kehidupan bermula untuk haiwan yang kian terancam ini," katanya.

Yasmin berkata, mengikut perundangan Kerajaan Persekutuan, Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, tiada sesiapa dibenarkan memancing, mengganggu, mengusik, menangkap atau mengambil penyu.

"Sehubungan itu, antara strategi dijalankan untuk jangka masa panjang ialah dengan memindahkan dan mengeramkan telur penyu di Pusat Penetasan Penyu Tanjong Jara Resort, Dungun," katanya.

Katanya, setiap tajaan sarang penyu, LTTW akan memaklumkan penaja mengenai situasi terkini sarang yang ditaja seperti bilangan telur, jangkaan masa untuk anak penyu menetas dan peratusan yang berjaya menetas serta dilepaskan kembali ke lautan.

Berita Harian X