Isnin, 17 Januari 2022 | 1:31pm
Rohaya (kanan) bersama keluarganya gembira mendapat rumah baharu melalui Program Melaka Rumahku di Kampung Air Hitam, Lendu Masjid Tanah. - Foto NSTP
Rohaya (kanan) bersama keluarganya gembira mendapat rumah baharu melalui Program Melaka Rumahku di Kampung Air Hitam, Lendu Masjid Tanah. - Foto NSTP

'Alhamdulillah dapat rumah baharu'

MASJID TANAH: "Rumah lama sudah terlalu uzur, ditolak dengan jari pun boleh roboh dan kami amat bersyukur dengan pemberian rumah baharu.

"Alhamdulillah, sekarang kami tidak bimbang lagi kalau angin kencang atau hujan lebat yang sebelum ini menyebabkan rumah lama dimasuki air akibat bumbung bocor," kata penerima rumah melalui Program Melaka Rumahku (PMR), Rohaya Md Din, 40.

Suri rumah yang menghidap penyakit jantung itu berkata, dia tidak mampu membaiki rumah yang terlalu uzur kerana suaminya, Mohd Affarizal Othman, 41, hanya bergantung rezeki kepada kerja kampung.

Katanya, berikutan bimbang keselamatan keluarga, dia memohon bantuan rumah daripada kerajaan negeri tahun lalu dan bersyukur diluluskan.

"Alhamdulillah, rumah baharu mempunyai tiga bilik, sebuah bilik air dan dapur yang lebih selesa berbanding rumah lama yang sudah terlalu daif," katanya selepas menerima replika kunci rumah daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Kampung Air Hitam, Lendu di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom.

Rumah berkenaan dibina melalui konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPM dengan kos RM40,000, selain Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang menyumbangkan pemasangan meter elektrik dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memasang meter air secara percuma.

Rumah yang dibina melalui Program Melaka Rumahku (PMR) itu dianugerahkan kepada Rohaya tanpa sebarang bayaran bagi membolehkan keluarganya menikmati kehidupan lebih selesa.

Ia adalah PMR ketiga dibina LPM selepas membina dua rumah seumpama itu, masing-masing di Tehel dan Pokok Mangga tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Affarizal berkata, dia tidak mampu mengumpulkan wang untuk membaiki rumahnya kerana kehilangan pekerjaan sebagai pembantu kantin di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu.

"Kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dengan anugerah rumah secantik ini," katanya.

Dia yang cacat mata kanan sejak lahir terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan RM200 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk memastikan bekalan bahan makanan tidak terputus.

Berita Harian X