Ahad, 16 Januari 2022 | 9:19am
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyempurnakan prapelancaran Kinta Riverwalk di Ipoh, malam tadi. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyempurnakan prapelancaran Kinta Riverwalk di Ipoh, malam tadi. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Perak jamin Kinta Riverwalk tak jadi projek 'gajah putih'

IPOH: Kerajaan Perak memberi jaminan pembangunan produk pelancongan utama baharu negeri, Kinta Riverwalk di sini tidak menjadi projek 'gajah putih' kerana pengurusannya diserahkan kepada hanya satu agensi, iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berbanding beberapa pihak sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata kerajaan negeri berharap strategi satu agensi mengawal selia pembangunan terbabit akan membawa kepada pembangunan lebih bersepadu.

"Dahulu kita mempunyai pelbagai pihak yang membangunkan kawasan ini, jadi mungkin kerana itu, ia tidak sekata dan boleh diuruskan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan prapelancaran pembukaan semula Kinta Riverwalk, malam tadi yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Nolee Ashilin berkata, dengan hanya MBI yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara, ia dapat memastikan projek terbabit dapat dikekalkan dan daya tarikannya dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

"Kita baru buat pembukaan fasa pertama dan fasa kedua juga sudah siap, jadi apabila fasa ketiga selesai nanti, kita akan lihat semula bagaimana untuk merancakkan lagi keseluruhan kawasan," katanya menambah, Kinta Riverwalk dijangka dapat meningkatkan lagi kehadiran pelancong tempatan dan luar ke bandar raya ini.

Katanya, Kinta Riverwalk adalah kesinambungan Ipoh Heritage Trail bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandar raya atau Segitiga Pelancongan Bandaraya Ipoh, secara tidak langsung akan mewujudkan peluang perniagaan bagi peniaga kecil baharu serta menjana ekonomi peniaga sedia ada di kawasan itu.

"Pembangunan ini akan menjadi pelengkap perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Ipoh Walkable City serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035," katanya.

Menurutnya, Kinta Riverwalk dibahagikan kepada tiga lokasi, iaitu hadapan Hotel Kinta Riverfront bermula dari Jambatan Jalan Raja Musa Aziz hingga Jambatan Jalan Lim Bo Seng sepanjang 1,600 meter, yang dibiayai melalui peruntukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM3 juta.

"Seterusnya berdekatan Restoran Hadramout, dari Jambatan Lim Bo Seng hingga Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sepanjang 195 meter dibiayai kerajaan negeri sebanyak RM500,000 dan ketiga, berdekatan Pekan Lama dari Jambatan Jalan Sultan Idris Shah hingga ke Lorong Hale sepanjang 280 meter pula dibiayai Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan sebanyak RM500,000," katanya.

Katanya, prapembukaan Kinta Riverwalk sempena Sambutan Tahun Baharu 2022 sejak 31 Disember lalu mendapat sambutan meriah daripada pengunjung dengan antara keunikan di lokasi itu adalah tiga jambatan ikonik, termasuk dua berkonsep 'glow in the dark', selain ikon perniagaan berkonsepkan 'hipster, heritage & health' (3H).

Berita Harian X