Rabu, 12 Januari 2022 | 3:33pm
Anggota bomba memeriksa keadaan rumah di Kampung Seduan, Sibu yang dinaiki air akibat hujan berterusan, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan JBPM
Anggota bomba memeriksa keadaan rumah di Kampung Seduan, Sibu yang dinaiki air akibat hujan berterusan, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan JBPM

Banjir mula landa Sibu

SIBU: Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan paras air di kawasan rendah di pinggir bandar ini dinaiki air hari ini.

Sehingga tengah hari tadi, tiga rumah di Kampung Seduan di sini, dinaiki air hingga paras 0.5 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.44 pagi.

Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di kampung berkenaan, didapati tiga rumah sudah dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter manakala jalan raya pula ditenggelami hampir satu meter.

"Penduduk mendakwa air memasuki rumah mereka dengan cepat selepas hujan sejak pagi semalam," katanya.

Bagaimanapun, 14 penghuni dua rumah yang dinaiki air enggan berpindah kerana yakin keadaan banjir akan pulih segera.

"Hanya 10 penghuni sebuah lagi kediaman iaitu tujuh orang dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi perempuan bersedia untuk dipindahkan.

"Pihak kami masih menunggu keputusan Pejabat Residen Bahagian Sibu untuk pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Jeriah," katanya.

Sibu antara sembilan bahagian di Sarawak yang kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan hujan berterusan sejak semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi laman sesawangmya hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk atau kategori jingga bagi sembilan kawasan itu hingga esok.

Kawasan lain yang berisiko banjir ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), dan Kapit (Kapit dan Song).

Mengikut sistem amaran MET Malaysia, cuaca tahap buruk atau kategori jingga merujuk hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Berita Harian X