Isnin, 10 Januari 2022 | 6:56pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

MBSA buka permohonan bazar Ramadan

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membuka permohonan bazar Ramadan secara dalam talian untuk pengeluaran permit bazar tahun ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata orang ramai boleh membuat permohonan mulai 17 Januari sehingga 16 Februari depan melalui laman sesawang eBazar MBSA https://bazar.mbsa.gov.my.

"Orang ramai perlu mengisi borang permohonan secara dalam talian dan memuat naik salinan dokumen diperlukan dengan lengkap sebelum proses pendaftaran dilaksanakan.

"Sebanyak 33 lokasi tapak bazar disediakan oleh pihak MBSA tahun ini.

"Antara lokasi tapak bazar adalah di Seksyen 6, 7, 8, 16,17, 18,19, 20, 24, 25, 27, 28, 31,33, 35, U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, enam jenis jualan dengan kadar bayaran berbeza disenaraikan.

"Jualan makanan dan minuman dalam balang masing-masing pada kadar bayaran RM207.

"Jualan makanan (bergoreng), air kelapa / tebu dan jualan berbakar masing-masing RM237, manakala ayam golek pada kadar RM297.

"Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkenaan Permit Bazar Ramadan boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-55105133 sambungan 1700/1762/1486/1699/1317/1366," katanya.

Berita Harian X