Ahad, 9 Januari 2022 | 12:17pm

Ceria dapat bertemu rakan, guru

ALOR SETAR: Sesi persekolahan yang bermula di negeri ini, hari ini, jelas sangat dinantikan pelajar selepas mereka bercuti lebih sebulan.

Tinjauan mendapati, murid sekolah rendah terutamanya sangat ceria apabila mereka kembali dapat bertemu rakan dan guru secara bersemuka.

Bagi murid Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) di sini, Amal Madihah Abd Razak, 12, berkata dia bersemangat untuk kembali bersekolah termasuk bangun tidur awal pagi tadi.

"Rasa sudah terlalu lama belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saya akui sukar untuk memahami apa yang diajar guru apabila belajar dalam talian, segalanya agak terhad.

"Saya tidak dapat memberi tumpuan penuh apabila berada di rumah, tetapi hari ini saya dapat kembali berjumpa rakan dan guru, harap sesi pembelajaran di sekolah ini akan berterusan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Amal Madihah turut berharap, virus COVID-19 akan segera hilang dan dia dapat menjalani kehidupan normal seperti bermain serta ke sekolah seperti sebelum pandemik melanda.

Bagi Muhd Alfie Rizqhi Amar, 11, pula berkata dia gembira dapat hadir ke sekolah hari ini dan lebih bersemangat untuk menuntut ilmu.

"Banyak ilmu lebih mudah difahami sekiranya berada di sekolah.

"Selepas solat selalu saya berdoa supaya dapat kembali belajar di sekolah, saya juga minta Allah hindari kami dari dijangkiti COVID-19. Semoga ilmu yang kami perolehi di sekolah juga diberkati," katanya.

Pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) memulakan sesi persekolahan penggal ketiga tahun 2021/2022 ketika tinjauan pembukaan semula sekolah hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) memulakan sesi persekolahan penggal ketiga tahun 2021/2022 ketika tinjauan pembukaan semula sekolah hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Guru Besar SRIDA, Syed Salehhudin Syed Osman, berkata sekolah itu mempunyai seramai 1,425 murid dan 90 guru.

"Murid tahun satu, dua dan enam akan belajar secara bersemuka seperti biasa manakala tahun tiga, empat dan lima akan mengikut giliran minggu seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kita sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian. Walaupun murid ramai kami akan pastikan mereka sentiasa beringat bahawa kita masih dalam pandemik COVID-19. Sekiranya ada yang bergejala seperti demam dan batuk, kita nasihatkan mereka tidak hadir ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad, berkata seramai 281,721 pelajar daripada 752 sekolah kembali ke sesi persekolahan penggal tiga tahun 2021- 2022 bermula hari ini.

"Seramai 106,726 pelajar adalah daripada 204 sekolah menengah manakala 174,995 murid adalah daripada 548 sekolah rendah," katanya dalam kenyataan.

Pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) memulakan sesi persekolahan penggal ketiga tahun 2021/2022 ketika tinjauan pembukaan semula sekolah hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) memulakan sesi persekolahan penggal ketiga tahun 2021/2022 ketika tinjauan pembukaan semula sekolah hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X