Selasa, 4 Januari 2022 | 12:29pm
Shahidan membuat tinjauan di salah satu pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Melaka. - Foto Facebook KWP
Shahidan membuat tinjauan di salah satu pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Melaka. - Foto Facebook KWP

KWP bantu mangsa banjir di Johor, Melaka

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menggerakkan pasukannya ke Segamat, Johor dan Melaka bagi membantu mangsa banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahidan Kassim, berkata bantuan itu dihulurkan atas semangat Keluarga Malaysia untuk menyumbang tenaga dan mengerakkan aset dalam operasi membantu, menyelamat dan membersih kawasan yang terkesan.

Menurutnya, KWP bersama agensi bawahnya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) berada di dua negeri itu sejak semalam dan membuka Pusat Kawalan Operasi Banjir bagi menyelaras serta mengatur gerak kerja bersama pasukan pengurusan bencana daerah dan negeri terbabit.

Katanya, jumlah kekuatan anggota pada kali ini adalah 60 warga kerja DBKL dan PPj.

"Jumlah sukarelawan daripada pelbagai agensi ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keadaan," katanya.

Sebelum ini, pasukan KWP terbabit dengan misi bantuan banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Katanya, KWP juga akan mengedarkan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang terjejas banjir di kawasan itu.

"Atas dasar keprihatinan, KWP bersedia untuk terus menghulur tenaga, bantuan serta sumbangan merentas Wilayah Persekutuan serta meningkatkan bantuan dari semasa ke semasa meskipun negeri yang dibantu itu bukan bawah seliaan kementerian ini," katanya.

Berita Harian X