Isnin, 3 Januari 2022 | 9:57am
Zainal Abidin (tengah) menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk Kampung Semangat. FOTO NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Zainal Abidin (tengah) menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk Kampung Semangat. FOTO NSTP/MOHD RAFI MAMAT

FAMA terima 500 kit makanan bantu mangsa banjir

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerima 500 kit makanan sumbangan Food Bank Malaysia untuk diagihkan kepada mangsa banjir di dua daerah di Pahang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, sumbangan kali pertama diterima pihaknya itu akan diberi kepada kepada mangsa banjir di daerah ini dan Pekan.

"Menerusi program MAFI Prihatin, lebih satu tan sayur dan bahan masakan disumbangkan kepada empat pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penyediaan makanan.

Sumbangan diberikan bertujuan meringankan beban mangsa banjir termasuk pihak menguruskan empat PPS terbabit," katanya pada Majlis Serahan Sumbangan Bantuan Banjir oleh Mafi Prihatin dan Food Bank Malaysia kepada penduduk Kampung Semangat, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Saiful Sadri.

Zainal Abidin berkata, 500 kit makanan disumbangkan Food Bank Malaysia akan diagihkan secara berperingkat apabila mangsa banjir kini sudah pulang ke rumah mereka.

"Saya mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan Food Bank Malaysia yang tampil membantu mangsa banjir di dua daerah di Pahang.

"Usaha yang dilakukan pihak terbabit diharap menjadi contoh kepada pihak lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan," katanya.

Berita Harian X