Ahad, 2 Januari 2022 | 2:23pm
Wakil UTHM menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada mangsa banjir di Pahang. - Foto ihsan UTHM
Wakil UTHM menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada mangsa banjir di Pahang. - Foto ihsan UTHM

UTHM agih barangan keperluan harian kepada mangsa banjir

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menggerakkan misi bantuan banjir yang kesembilan dengan mengagihkan pelbagai keperluan harian bernilai RM90,000 kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly, berkata dana yang terkumpul untuk misi itu adalah hasil sumbangan warga UTHM dan orang ramai.

"UTHM melalui Yayasan UTHM, berkolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menyalurkan bantuan banjir kepada mangsa banjir.

"Sebahagian daripada sumbangan berkenaan juga disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan di Pahang baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wahid berkata, pada masa sama, UTHM menggerakkan hampir 100 sukarelawan bagi kerja pembersihan di kawasan Pekan Sungai Lembing, Pahang membabitkan kemudahan komuniti seperti kedai dan balai raya.

"UTHM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dalam membantu mangsa yang terkesan dengan bencana alam berkenaan.

"Semoga segala sumbangan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir," katanya.

Katanya, universiti melalui kluster 'UTHM Prihatin' sentiasa peka dan cakna terhadap isu kemasyarakatan, terutama berkaitan banjir yang melanda negara ketika ini.

Warga UTHM dan orang ramai boleh terus menyalurkan sumbangan bagi menjayakan Misi Bantuan Banjir UTHM melalui Akaun Yayasan UTHM (Bank Rakyat 1101686275) atau saluran ToyyibPay https://toyyibpay.com/Dana-Mangsa-Banjir-SV-UTHM.

Berita Harian X