Rabu, 29 Disember 2021 | 1:15pm
Kamel (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Jasin, Melaka. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar
Kamel (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Jasin, Melaka. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Mangsa banjir di PPS Melaka kekal 26

MELAKA: Lapan keluarga membabitkan 26 mangsa banjir di daerah Jasin masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata setakat jam 12 tengahari mereka masih ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Benteng, Jasin.

Katanya, kawasan terjejas banjir di negeri ini hanya membabitkan daerah terbabit iaitu Kampung Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang dan Kampung Tersusun Rambai Jaya.

Sementara itu, seramai 28 keluarga dari Daerah Melaka Tengah dan Jasin menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan Monsun Timur Laut (MTL), malam tadi.

Pemberian sumbangan berlangsung di Dewan Japerun Pengkalan Batu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, Jasin.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad, berkata pemberian Bantuan Wang Ihsan MTL bernilai RM1,000 itu disampaikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas.

"Seramai 20 ketua isi rumah dalam Daerah Melaka Tengah dan lapan dari Daerah Jasin telah menerima Bantuan Wang Ihsan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) susulan banjir, baru-baru ini," katanya.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

Sementara di Daerah Jasin, turut hadir ADUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan ADUN Serkam merangkap Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Zaidi Attan.

Berita Harian X