Selasa, 28 Disember 2021 | 1:29pm
Bantuan disalurkan kepada penduduk terjejas banjir di Lubok Cina. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Bantuan disalurkan kepada penduduk terjejas banjir di Lubok Cina. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Hanya 8 keluarga masih di PPS Melaka

MELAKA: Lapan keluarga membabitkan 26 mangsa banjir di daerah Jasin masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata setakat jam 8 pagi mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Benteng, Jasin.

Beliau berkata, kawasan terjejas banjir di negeri ini hanya membabitkan Kampung Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang dan Kampung Tersusun Rambai Jaya.

Katanya, semua PPS lain sudah ditutup dengan terakhir ditutup PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China bagi daerah Alor Gajah, pada Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam Pembentangan Bajet 2022 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri semalam, turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM931.2 juta bagi mengurangkan bencana banjir di negeri itu.

Katanya, ia membabitkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) iaitu di RTB Krubong-Durian Tunggal berjumlah RM600 juta, RTB Sungai Duyong (RM163.80 juta), RTB Bandar Jasin (RM60 juta), RTB Sungai Melaka Fasa 1 (RM40 juta), RTB Merlimau (RM36 juta) dan RTB Alor Gajah Fasa 1 (RM30 juta).

Katanya, Projek RTB Krubong-Durian Tunggal membabitkan kolam dwifungsi untuk tebatan banjir dan sumber air yang juga pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia.

"Projek kedua membabitkan penyediaan kajian peta hazard banjir Lembangan Sungai Duyong berjumlah RM900,000 dan yang ketiga Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Baru, berjumlah RM500,000," katanya.

Sulaiman berkata, selain itu, pelbagai projek jangka pendek untuk mengatasi masalah banjir akan dilaksanakan membabitkan kos RM25.1 juta menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Berita Harian X