Selasa, 28 Disember 2021 | 1:28pm

Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa turun padang

KOTA BHARU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa memperuntukkan wang zakat RM40,000 untuk diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Pahang.

Pengerusinya, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman, berkata wang zakat berkenaan disumbangkan beberapa individu untuk membantu meringankan beban golongan yang terkesan dan pada peringkat awal akan diagihkan kepada mangsa banjir di Mentakab, Pahang dalam misi bantuan banjir yang bermula hari ini.

"Sumbangan diharap sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung penduduk terjejas.

"Sumbangan ini juga tanda kami sentiasa menyantuni golongan yang ditimpa musibah dan diharap dapat menaikkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya ketika ditemui di Kampung Kemumin.

Terdahulu, 30 sukarelawan Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa berkonvoi dengan menaiki enam pacuan empat roda untuk mengagihkan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Mentakab.

Nor Azizah berkata, bagi sumbangan pek barang keperluan asas pihaknya memperuntukkan RM15,000 untuk membeli beras dan beberapa keperluan lain.

Katanya, misi bantuan ini juga untuk membalas budi penduduk Pahang yang membantu rakyat Kelantan ketika dilanda bah kuning pada 2014.

Nor Azizah (tengah) bersama sukarelawan siap sedia mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Mentakab. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Nor Azizah (tengah) bersama sukarelawan siap sedia mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Mentakab. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X