Isnin, 27 Disember 2021 | 8:39pm

Bajet Melaka lulus dengan sokongan 15 ADUN

MELAKA: Sokongan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), enam berkecuali dan tujuh tidak hadir akibat COVID-19 tidak menghalang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Bajet 2022 Negeri Melaka.

Dalam undian selepas ucapan penggulungan bajet pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Ke-15 Tahun 2021 di Seri Negeri Ayer Keroh berkenaan menyaksikan sokongan 15 ahli, enam berkecuali dan tujuh tidak hadir.

Bajet yang bertema 'Stabil Melaka, Makmur Bersama', yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu tanpa kehadiran tujuh ADUN dengan empat daripada mereka positif COVID-19 dan tiga kontak rapat.

Sulaiman berkata empat ADUN berkenaan dikesan positif semalam selepas melakukan ujian calitan RT-PCR Jumaat lalu.

Katanya, berikutan itu kerajaan negeri bermesyuarat dan memohon supaya sidang DUN diadakan satu hari bagi membentangkan Bajet Melaka 2022.

Beliau berkata, bajet inklusif menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan kecekapan tadbir urus.

"Bajet Melaka 2022 disifatkan sebagai serampang banyak mata, khusus dalam memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan mengotakan sebahagian aku janji 100 hari dan maksimum lima tahun manifesto pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu.

"Bajet kali ini juga menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat demi kesejahteraan semua golongan masyarakat tanpa ada yang terkecuali atau tertinggal," katanya.

Berita Harian X