Isnin, 27 Disember 2021 | 6:13pm
Sulaiman menunjukkan buku Bajet 2022 Melaka. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Sulaiman menunjukkan buku Bajet 2022 Melaka. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR

Bajet 2022 Melaka: Peruntukan RM200,000 beli bot hadapi banjir

MELAKA: Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bawah Bajet 2022 Melaka bagi pembelian bot sebagai antara persediaan menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata bot terbabit akan digunakan dalam misi menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau berkata, kerajaan negeri berusaha menyediakan kemudahan terbabit susulan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain peka akan risiko banjir.

"Walaupun agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai bot, kerajaan negeri berusaha untuk turut menyediakannya sebagai kemudahan tambahan.

"Bot berkenaan akan diuruskan pejabat daerah di Melaka," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 Melaka yang bertema 'Stabil Melaka, Makmur Bersama' di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Seterusnya, Sulaiman memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelbagai projek baharu bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, untuk dilaksanakan di Melaka pada tahun depan.

Antaranya, beliau berkata, projek pembinaan bangunan baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Hulu, SK Kampung Tun Razak, SK Kelebang Besar dan SK Dato' Demang Hussin, membabitkan kos berjumlah RM80 juta.

Katanya, projek lain meliputi pembinaan bangunan baharu Makmal Sains Tulen (Kimia, Biologi Dan Fizik) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak, Jasin, membabitkan kos sebanyak RM17.8 juta, selain perolehan tanah bagi pembinaan kampus baharu Politeknik Melaka di Lendu, Masjid Tanah.

Berita Harian X