Isnin, 27 Disember 2021 | 11:13am
Datuk Ibrahim Durum (kanan) dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar
Datuk Ibrahim Durum (kanan) dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar

Ibrahim, Dira dilantik Speaker, Timbalan Speaker DUN Melaka Ke-15

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

Khaidhirah atau Dira, 37, dilantik pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15, hari ini, selepas namanya dicadangkan oleh ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan disokong ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Dira yang juga anak bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin, memiliki Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Universiti Malaya dan berkecimpung dalam dunia seni sebelum mula aktif di arena politik negara pada 2015.

Terdahulu bekas EXCO, Datuk Ibrahim Durum, dilantik sebagai Speaker DUN Melaka Ke-15, selepas menjadi satu-satunya nama dicadangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Cadangan itu disokong oleh EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga ADUN Gadek, V P Shanmugam.

Ibrahim dalam ucapan sulungnya sebagai Speaker, berjanji akan menjalankan tugas dengan adil serta saksama, dan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab atas lantikan itu.

"Saya akan berlaku adil dan saksama dalam menjalankan tugas. Sekiranya saya tidak berlaku adil, bermakna saya juga tidak berlaku adil kepada rakyat yang membuat pemilihan pada pilihan raya lalu.

"Terima kasih serta penghargaan kepada semua ahli Yang Berhormat kerana mengambil keputusan memilih dan berkecuali dalam pelantikan Speaker DUN pada pagi ini.

"Kepada Yang Berhormat Ahli DUN pula, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas atas terpilihnya Ahli Yang Berhormat mengikut DUN masing-masing," katanya.

Pada sidang itu, seramai 20 ADUN mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker dengan upacara diketuai Sulaiman, disusuli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan barisan pembangkang.

Bagaimanapun, beberapa ADUN tidak hadir untuk mengangkat sumpah jawatan pada sidang hari ini.

Berita Harian X