Ahad, 26 Disember 2021 | 12:38pm
Pasukan sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Bandaraya Melaka menjalankan misi bantuan mangsa banjir di Lubok China.- Foto Nazri Abu Bakar
Pasukan sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Bandaraya Melaka menjalankan misi bantuan mangsa banjir di Lubok China.- Foto Nazri Abu Bakar

Satu pusat pemindahan masih dibuka di Melaka

MELAKA: Banjir di Melaka semakin pulih apabila hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka setakat jam 8 pagi ini, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Benteng, Jasin itu menempatkan 26 mangsa.

Katanya, banjir di daerah berkenaan menjejaskan Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Penghulu Benteng.

"Semua PPS lain di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah pula sudah ditutup sepenuhnya," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 90 sukarelawan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka diketuai Rektornya,Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini membantu membersihkan Masjid Lubok China yang terjejas banjir, semalam.

Pihak itu turut menyampaikan sumbangan 200 beg keperluan harian dan barangan pembersihan selain ubat kepada penduduk kariah masjid itu.

Misi bantuan itu mendapat kerjasama Institut Penilaian Negara (Inspen) Melaka dan Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM).

Berita Harian X