Rabu, 22 Disember 2021 | 9:05pm
Ikan paus yang ditemui cedera di Pantai Gong Balai. - Foto NSTP/Ihsan pembaca
Ikan paus yang ditemui cedera di Pantai Gong Balai. - Foto NSTP/Ihsan pembaca

Paus cedera terdampar di pantai

MARANG: Seekor ikan paus sperma (Kogia Brevicep) yang cedera dan terdampar di pantai Gong Balai di sini diselamatkan sekumpulan penduduk hari ini.

Mamalia air dianggar seberat 200 kilogram itu ditemui terdampar di pantai itu kira-kira jam 11.30 pagi dengan beberapa kesan luka dipercayai terkena pukat nelayan.

Penduduk, Mohd Saiful Daud, 40, berkata ikan paus itu masih hidupo ketika ditemui dan mereka cuba untuk menolaknya semula ke air.

"Keseluruhan bahagian perutnya kemerahan dan saya percaya ia akibat terkena pukat nelayan laut dalam," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Balai, petang ini.

Ikan paus itu seolah-olah tidak mahu kembali selepas beberapa kali mereka menolaknya ke laut dan tidak mahu berusaha untuk berenang.

"Sebagai jalan terakhir, saya menghubungi Jabatan Perikanan bagi memaklumkan kejadian itu, "katanya.

Menurutnya, beberapa kakitangan Jabatan Perikanan tiba selepas itu sebelum paus diusung ke dalam kenderaan agensi terbabit.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan penemuan itu.

Menurutnya, ikan paus terbabit kemudiannya dibawa kakitangan Pusat Penyelidikan Penyu Rantau Abang ke pusat terbabit untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X