Isnin, 13 Disember 2021 | 10:56am
Pengkarya Sabah mempamerkan kraftangan tradisi dan cara pembuatannya pada Festival KLWKND di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto ihsan Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC)
Pengkarya Sabah mempamerkan kraftangan tradisi dan cara pembuatannya pada Festival KLWKND di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto ihsan Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC)

Delegasi Sabah kutip lebih RM45,000 pada Festival KLWKND

KOTA KINABALU: Delegasi Sabah yang mempromosikan keunikan budaya dan alam semula jadi negeri ini pada sambutan Festival KLWKND (Kuala Lumpur Weekend) di Kuala Lumpur baru-baru ini mengumpul hasil jualan berjumlah RM45,050.

Jumlah itu kebanyakannya adalah hasil jualan kraftangan unik yang dihasilkan pengkarya yang dibawa menyertai festival berkenaan oleh Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC), sebuah agensi kerajaan negeri berkaitan teknologi industri, inovasi dan kreativiti.

Pengurus delegasi Sabah ke festival berkenaan, Eva Chris Anthony, berkata kerjasama dengan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) untuk menyertai festival itu pada 25 November hingga 28 November lalu adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk memulihkan industri pelancongan.

"Berdasarkan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), pelancongan adalah satu daripada industri utama di Sabah. SCENIC mengambil langkah proaktif ini untuk bekerjasama dengan pemegang taruh negeri dan persekutuan dalam mengukuhkan imej Sabah yang kaya dengan sumber semulajadi, hutan tropika dan adat budaya.

"SCENIC melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk menghidupkan semula ekonomi Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan membawa kekayaan budaya dan kraftangan Sabah ke Kuala Lumpur.

"Ia secara tidak langsung menarik ramai pelancong untuk datang semula ke Sabah dan membantu sektor pelancongannya," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sepanjang empat hari festival berkenaan, SCENIC mengambil bahagian dalam tiga segmen utama iaitu Artisan Terbaik Malaysia, Penyembuhan Alam Semula Jadi dan Hutan di Bandar Raya.

Berita Harian X