Ahad, 12 Disember 2021 | 5:13pm

Baca buku, berpegangan tangan hilangkan rasa takut berkhatan

RANTAU PANJANG: Membaca buku untuk menghilangkan rasa gemuruh.

Itu inisiatif dilakukan pasangan kembar, Ahmad Fakhrullah Ahmad Fauzi dan Ahmad Fathuddin, 9, pada Program Berkhatan Sunathon Yayasan Raja Shamri (YRS) di Bilik Gerakan Thirdforce, di sini, hari ini.

Mereka ialah antara 33 peserta program berkenaan membabitkan anak asnaf bawah kelolaan YRS di jajahan Pasir Mas.

Gelagat bersahaja pasangan kembar itu menarik perhatian ramai, malah mereka masih mengukir senyuman sebaik sahaja selesai berkhatan, sekali gus melegakan rakan lain yang sedang menunggu giliran masing-masing.

Ibu pasangan kembar itu, Masnira Ab Wahab, 27, berkata anaknya meminta membawakan buku ketika proses berkhatan, malah beliau tidak menyangka mereka benar-benar membacanya bagi menghilangkan rasa gemuruh.

"Saya dan suami, Ahmad Fauzi Ahmad Jusoh, 32, turut menemani mereka membaca ketika pembantu perubatan menjalankan tugas mengkhatankan anak kami.

"Sejujurnya, saya yang rasa berdebar menunggu untuk masuk menemani mereka ke ruang berkhatan, tetapi Alhamdulillah, mereka melaluinya dengan tenang saja," katanya ketika ditemui pada program itu.

Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce, Tuan Zaimah Raja Omar, berkata pihaknya menaja 33 anak asnaf bawah seliaan mereka untuk program berkhatan, selain menyampaikan sumbangan bekalan keperluan kepada keluarga peserta.

Turut menjadi perhatian ialah dua sahabat karib, Muhammad Alif Fikri Ismail, 10, dan Muhammad Alif Aikal Afendi, 10, yang saling berpegangan tangan untuk menenangkan diri serta menghilangkan rasa gementar.

Bapa Muhammad Alif Fikri, Ismail Samat, 48, berkata anaknya lebih bersemangat untuk berkhatan bersama sahabat baiknya yang juga rakan sekelas di sekolah.

"Mereka berpegangan tangan sepanjang masa, mungkin untuk menghilangkan rasa takut. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan tiada lagi kerisauan pada wajah mereka berdua," katanya.

Pasangan kembar, Ahmad Fakhrullah Ahmad Fauzi dan Ahmad Fathuddin bersama ibu dan bapa mereka, Masnira Ab Wahab dan Ahmad Fauzi Ahmad ketika ditemui pada Program Berkhatan Sunathon Yayasan Raja Shamri (YRS) di Bilik Gerakan Thirdforce, di Rantau Panjang. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Sahabat karib, Muhammad Alif Fikri Ismail (kiri) dan Muhammad Alif Aikal Afendi (kanan) antara 33 peserta yang menyertai Program Berkhatan Sunathon Yayasan Raja Shamri (YRS) di Bilik Gerakan Thirdforce, di Rantau Panjang. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Berita Harian X