Khamis, 9 Disember 2021 | 1:24pm
 Bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari daerah SPU, Georgetown dibimbangi mengandungi toksik. - Foto ihsan CAP
Bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari daerah SPU, Georgetown dibimbangi mengandungi toksik. - Foto ihsan CAP

JPS, PBT digesa atasi pencemaran Sungai Muda

GEORGETOWN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa bertindak segera membersihkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari di daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang tercemar dengan sisa buangan.

Ketika membuat gesaan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga menyatakan rasa kesal kerana pencemaran itu berlaku di Sungai Muda yang menjadi sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk di Kedah dan Pulau Pinang.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata tinjauan CAP mendapati timbunan bahan itu, terutama bekas plastik terapung di permukaan sungai menyebabkan persekitaran sumber air berkenaan kelihatan kotor.

Jika keadaan itu berterusan, katanya, ia bukan saja boleh menjejaskan kualiti air sungai, tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak dan boleh menyebabkan jangkitan penyakit.

"Amat membimbangkan sekiranya buangan itu mengandungi toksik, ia pasti memberi kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, hidupan sungai, laut dan kesihatan manusia.

"CAP percaya jika bahan buangan ini dibiarkan, ia akan turut mencemarkan pantai dan laut berhampiran, sekali gus mengganggu aktiviti nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, CAP berharap pihak bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan selain mengambil tindakan tegas supaya kejadian yang sama tidak berulang.

Katanya, pemantauan berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan termaktub mengikut akta sedia ada.

"CAP meminta supaya bahan buangan itu dilupuskan di kawasan selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan. Pihak berkenaan juga perlu dedahkan hasil siasatan dan tindakan diambil kepada umum," katanya.

Berita Harian X