Rabu, 8 Disember 2021 | 4:48pm
Tasik Biru di Rompin antara produk pelancongan yang diberi nafas baharu di Pahang. - Foto fail NSTP
Tasik Biru di Rompin antara produk pelancongan yang diberi nafas baharu di Pahang. - Foto fail NSTP

Pahang tambah baik produk pelancongan

KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM3.64 juta bagi 25 projek melalui Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan kawasan pelancongan Pahang, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata antara fokus yang diberikan keutamaan ialah membaik pulih kemudahan pelancongan yang rosak.

Katanya, selain itu, peruntukan itu turut membabitkan pembinaan kemudahan baharu bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

"Ada produk pelancongan yang diberi nafas baharu di Pahang seperti Taman Negeri Rompin, Lubuk Yu (Maran), Titik Tengah Semenanjung (Temerloh), Sungai Lembing (Kuantan), Taman Negara dan Tasik Biru (Rompin).

"Promosi produk pelancongan ini akan dipertingkatkan kerana mampu menarik kedatangan pelancong berikutan memiliki kelebihan tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam), mengenai perancangan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membantu sektor pelancongan Pahang kembali bangkit kesan pandemik COVID-19 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada pelancong dari luar Pahang yang turut sama mempromosikan produk pelancongan Pahang.

"Mereka berswafoto dan memuat naik gambar di media sosial banyak membantu, selain mengadakan pertandingan.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan promosi pelancongan di media sosial dan menghadiri pameran, terutama dapat bertemu dengan penggiat pelancongan," katanya.

Berita Harian X