Ahad, 28 November 2021 | 8:18pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 27 ADUN menyokong Belanjawan Johor 2022 yang diluluskan sebulat suara pada Sidang Keempat DUN Johor Ke-14, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 27 ADUN menyokong Belanjawan Johor 2022 yang diluluskan sebulat suara pada Sidang Keempat DUN Johor Ke-14, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM

DUN Johor lulus Belanjawan Johor 2022

ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2022 berjumlah RM1.958 bilion.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memaklumkan belanjawan itu diluluskan secara majoriti apabila 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong manakala 27 lagi berkecuali sementara dua lagi tidak hadir.

Undi majoriti Belanjawan Johor 2022 itu sekali gus mengenepikan spekulasi berhubung sidang DUN dikatakan akan 'panas'.

Ia berikutan peringatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau boleh 'menekan butang' untuk menyebabkan kerajaan Johor tumbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu memberi amaran ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Belanjawan Johor 2022 dengan tema 'Memperhebat Kesejahteraan Johor ' itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada 18 November lalu.

Belanjawan itu mengalami defisit sebanyak RM286.14 juta buat dua tahun berturut-turut. Sebelum ini ia merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut.

Hasni Mohammad, ketika membentangkan belanjawan itu berkata, unjuran hasil negeri untuk tahun 2022 adalah sebanyak RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.958 bilion.

Beliau berkata, tema 'Memperhebat Kesejahteraan Johor' dipilih untuk Belanjawan Johor 2022 , sejajar dengan hasrat kerajaan Johor memastikan kelangsungan hidup rakyat negeri ini yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

"Belanjawan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri yang giat berusaha untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.

"Segala pertimbangan bagi Belanjawan Johor 2022 dipandu oleh dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat COVID-19 dan keduanya, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor ekonomi negeri secara menyeluruh," katanya.

Berita Harian X