Ahad, 21 November 2021 | 1:01pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Mangsa banjir di Kubang Pasu menurun

KUBANG PASU: Mangsa banjir di daerah ini berkurangan kepada 28 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Lahar, setakat jam 12 tengah hari ini.

Jumlah ini menurun berbanding 31 mangsa daripada tujuh keluarga dari dua kampung yang dipindahkan ke PPS berkenaan pada jam 8 pagi tadi, sejak dipindahkan malam tadi akibat banjir kilat.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata sebuah keluarga yang membabitkan tiga mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah akibat air sudah kembali surut.

Beliau berkata, sebahagian besar lagi mangsa masih berada di PPS berkenaan sehingga keadaan paras air kembali normal.

Media hari ini melaporkan, hujan lebat melebihi dua jam sekitar jam 5.30 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini terjejas akibat banjir kilat.

Berikutan itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Lahar, malam tadi yang menempatkan 31 mangsa daripada tujuh keluarga dari dua kampung iaitu Kampung Lahar dan Kampung Paya Tok Keong di Mukim Lahar malam tadi.

Selain itu, beberapa kawasan lain di daerah itu dinaiki air adalah di Jalan Changlun - Jitra (hadapan Taman Jelutong) hingga menyebabkan berlaku kesesakan di sepanjang laluan lebuhraya Jitra-Changlun di kedua-dua arah manakala kawasan di sepanjang Jalan Kodiang - Changlun juga dilaporkan digenangi air.

Berita Harian X