Sabtu, 20 November 2021 | 12:16pm
Mangsa banjir di Kubang Pasu masih kekal seramai 43 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto APM
Mangsa banjir di Kubang Pasu masih kekal seramai 43 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto APM

Mangsa banjir Kubang Pasu kekal 43 orang

KUBANG PASU: Mangsa banjir di daerah ini masih kekal seramai 43 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir itu tidak berubah sejak malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini tiada mangsa banjir baharu dilaporkan pada hari ini dan keadaan cuaca bertambah baik.

Bagaimanapun, pihak APM dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir.

Media sebelum ini melaporkan, hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 3.30 petang Khamis lalu menyebabkan paras air sungai berhampiran kawasan kampung berkenaan meningkat.

Antara lokasi yang dinaiki air adalah di Jalan Changlun-Jitra (hadapan Taman Jelutong, Changlun), Taman Sri Menanti, Taman Pertama, Taman Resak dan Jalan Sintok di Mukim Temin.

Selain itu, paras air turut meningkat di Kampung Padang Pasir di Mukim Sungai Laka, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal dan Kampung Tengah di Mukim Hosba.

Berita Harian X