Rabu, 20 Oktober 2021 | 3:36pm
Tilam dan sampah lain dibuang dalam sistem saliran di Johor Bharu. - Foto facebook
Tilam dan sampah lain dibuang dalam sistem saliran di Johor Bharu. - Foto facebook

Sultan Johor murka

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang dan sungai hingga menjejaskan saliran air, terutamanya di bandar raya ini.

Sultan Ibrahim bertitah, siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat melanda bandar raya ini bulan lalu, berpunca akibat sistem saliran tersumbat, disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Titah baginda, laporan dan gambar hasil siasatan MBJB itu dipersembah kepada baginda oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam Osman di Istana Bukit Pelangi, di sini, baru-baru ini.

"Ini berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

"Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan.

"Masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai. Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir," titah Sultan Johor dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, hari ini.

Bulan lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat, terutama bandar raya Johor Bahru.

Ini susulan banjir kilat yang menenggelamkan banyak kawasan rendah di bandar raya ini bulan lalu, akibat hujan lebat lebih empat jam, sekali gus menyebabkan banyak rumah penduduk terjejas dimasuki air banjir.

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam berkata, pihaknya melaksanakan kerja pembersihan di kawasan yang terbabit dengan mengalihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.

"MBJB memperuntuk RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Namun, sikap segelintir rakyat yang membuang sampah di dalam saliran ini amat kita dikesali.

"Saya juga mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi 'hotspot' banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif membabitkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir," katanya.

Sultan Johor berkongsi gambar sampah dibuang penduduk bandar raya mengakibatkan banjir kilat. - Foto facebook
Sultan Johor berkongsi gambar sampah dibuang penduduk bandar raya mengakibatkan banjir kilat. - Foto facebook

Berita Harian X