Khamis, 14 Oktober 2021 | 10:47am
Beberapa individu yang ditahan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika membuang sampah secara haram di Jalan Kebun sebelum ini. -Foto NSTP/Ihsan MPK
Beberapa individu yang ditahan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika membuang sampah secara haram di Jalan Kebun sebelum ini. -Foto NSTP/Ihsan MPK

Pemasangan CCTV berkesan pantau aktiviti buang sampah haram

KLANG: Pemasangan 10 unit kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Kebun Nenas dan Jalan Papan, di sini menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram, kata Yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Beliau berkata, sejak MPK memasang CCTV di lokasi itu tidak ada lagi longgokan sampah haram atau kelibat individu tidak bertanggungjawab membuang sampah.

"Sebanyak enam unit CCTV dipasang di Jalan Kebun dan empat unit di Jalan Papan berjaya menangani isu berkenaan yang berlaku sejak sekian lama di situ.

"Keberkesanan pemasangan itu dapat dilihat apabila tiada tindakan sitaan kenderaan membuang sampah haram direkodkan hingga September lalu, berbanding 16 tindakan diambil tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, selain pemasangan CCTV, rondaan oleh Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) MPK juga banyak membantu di samping pelbagai aktiviti dan program pencegahan bersama komuniti.

"Inisiatif ini selaras dengan matlamat kita untuk memastikan kebersihan dan keselesaan masyarakat terjamin sepanjang masa," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, MPK mengumumkan pemasangan CCTV itu dalam usaha memantau pembuangan sampah haram sepanjang dua kilometer di Jalan Kebun Nenas.

Berita Harian X