Khamis, 23 September 2021 | 7:29am
Foto hiasan
Foto hiasan

Hujan lebat, angin kencang sebabkan pokok tumbang

IPOH: Hujan lebat dan angin kencang yang melanda lewat petang hingga malam semalam menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di Perak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai pokok tumbang di beberapa lokasi di Ipoh, Kampar, Seri Manjung, Pantai Remis dan Teluk Intan pada kira-kira 6.30 petang hingga 11 malam.

"Di Ipoh, pokok tumbang merintangi jalan di Taman Rapat Setia, Balai Polis Buntong, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Jelapang, Taman Perpaduan dan Persiaran Pulai Baru.

"Kami turut menerima panggilan pokok tumbang yang menghempap kenderaan di Persiaran Agasia 1, Kampar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejadian pokok tumbang yang merintangi jalan turut dilaporkan berlaku di Jalan Lumut dan Kampung Cina serta Jalan Teluk Senangin di Seri Manjung dan Pekan Langkap di Teluk Intan.

Katanya, bomba telah menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok yang tumbang dan mengalihkan ke tempat yang selamat.

"Operasi turut membabitkan pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, pihak majlis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X