Selasa, 7 September 2021 | 9:43am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Orang Asli di 9 penempatan terima vaksin mulai Ahad

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli yang tinggal di sembilan pos penempatan di daerah ini akan menerima vaksin COVID-19 mulai Ahad ini.

Ia membabitkan Pos Hau, Balar, Bihai, Belatim, Tohoi, Simpor, Pulat, Pasik dan Gob.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata gerak kerja vaksinasi itu disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Katanya, masyarakat yang tinggal berdekatan bandar termasuk di Pos Brooke, Hendrop dan Kuala Lah sudah mula menerima suntikan sejak seminggu lalu.

"Kita dimaklumkan masyarakat itu bakal menerima vaksin CanSino iaitu membabitkan suntikan satu dos.

"Unit Bergerak Outreah Kementerian Kesihatan Gua Musang akan turun ke setiap pos Orang Asli bagi menjayakan vaksinasi COVID-19," katanya hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata JAKOA sedang giat mendaftarkan 20 peratus daripada lebih 10,000 penduduk Orang Asli yang belum mendaftar.

Katanya, mereka dipercayai terpengaruh dengan gerakan antivaksin dan kini akur selepas diberi penjelasan.

Berita Harian X