Khamis, 22 Julai 2021 | 2:19pm
Hospital Sibu
Hospital Sibu

Wanita Indonesia positif Varian Delta masih dikuarantin di Sibu

Norsyazwani Nasri

bhnews@bh.com.my

SIBU: Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) wanita warganegara Indonesia yang disahkan positif COVID-19 Varian Delta masih dikuarantin di Hospital Sibu sejak 7 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, wanita berusia 29 tahun itu diuji positif menerusi ujian saringan dijalankan pada hari sama.

"Hasil siasatan, wanita itu memasuki Sarawak pada 5 Julai. Seorang lagi PATI yang menjadi kontak rapat wanita berkenaan adalah lelaki berumur 22 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu semalam yang sampel diterima daripada wanita berkenaan pada 12 Julai lalu disahkan Varian Delta.

Sehubungan itu, jawatankuasa itu menasihatkan penduduk Sibu termasuk yang sudah menerima vaksin untuk terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan.

Stanley berkata, lelaki yang menjadi kontak wanita berkenaan bagaimanapun negatif COVID-19 selepas melakukan dua ujian saringan tetapi masih dikuarantin.

"Dua warga tempatan yang juga kontak rapat PATI itu juga adalah lelaki. Hasil ujian saringan terhadap mereka menunjukkan negatif tetapi masih ditahan di pusat kuarantin selama 21 hari.

"Kedua-dua PATI itu disyaki masuk ke Sarawak menggunakan laluan tikus dari Pontianak, Kalimantan, Indonesia sebelum datang ke Sibu menaiki lori," katanya.

Katanya, kedua-dua PATI akan ditahan mengikut Seksyen 55E/6(1) Akta Imigresen 1959/63 sebaik saja dibenarkan keluar dari pusat kuarantin.

Berita Harian X